MENU

Sinopsis Sejarah Kampar

Kampar memberi pengertian Bandar Kampar dan kawasan-kawasan sekitarnya dalam lingkungan 10-20 batu persegi. Penerokaan dan petempatan awal Kampar mempunyai kaitan dengan penemuan bijih timah itu sendiri, maka tidak hairan jika ada pendapat yang mengatakan ‘Kampar dibangunkan di atas bijih timah' dan sehingga kini bijih timah masih dilombong meskipun kepesatannya mulai berkurangan akibat kemerosotan pasaran timah.
Dilihat dari sudut geografi dan geologi, Kampar terletak dalam lingkungan Lembah Kinta, kedudukannya seperti dalam kawah di penghujung barat kaki Gunung Bujang Melaka yang disaliri oleh Sungai Keranji dan Sungai Kampar yang terdiri dari tanah lanar adalah kaya dengan logam-logam timah. Sungai-sungai tersebut memendapkan tanah-tanah dan batu-batu kecil kelikir yang mengandungi logam-logam timah di tebing dan dasarnya, proses ini telah berlaku berjuta-juta tahun dahulu, menjadikan kawasan tersebut kaya dengan longgokan bijih timah.

Pada peringkat awal, aktiviti perlombongan di Kampar dijalankan secara mengorek lubang-lubang kecil untuk mendapatkan tanah yang mengandungi bijih dan mendulangnya di tebing-tebing Sungai Keranji dan Sungai Kampar serta di kawasan-kawasan rendah yang mengandungi takungan air. Kegiatan tradisional kebanyakannya dilakukan oleh orang-orang Cina dan Eropah menambahkan kepesatan kegiatan ekonomi perlombongan bijih timah, apabila mereka memperkenalkan melombong cara pam palong dan kapal korek. Kedua-dua cara perlombongan ini boleh mengeluarkan hasil bijih timah dalam jumlah yang berlipat ganda banyaknya serta dapat menyumbangkan peluang pekerjaan kepada penduduk Kampar dan kawasan-kawasan sekitarnya. Keadaan ini berterusan sehinggalah menjelangnya kemerosotan pasaran timah pada awal tahun 1983.

Penempatan awal Kampar dan kepesatan industri perlombongan mendorong kedatangan orang-orang dari luar semua terutama orang-orang Cina dari Tanah Besar juga yang telah bermastautin di Pulau Pinang dan Taiping untuk memulakan hidup baru di Kampar sebagai pekerja limbong, peniaga dan sebaginya.
Hari ini Kampar telah membangun sebagai pusat pentadbiran Daerah Kecil Gopeng dan Kampar serta menjadi pusat perniagaan dan kewangan yang menjadi tumpuan penduduk sekitarnya. Berbagai-bagai kemudahan dan infrastruktur telah disalurkan oleh pihak kerajaan untuk penduduk Kampar seperti Hospital, sekolah, bekalan air, elektrik dan sebagainya. Untuk memastikan keperluan pengurusan dan kebersihan Bandar Kampar, telah ditubuhkan Majlis Daerah Kampar untuk menguruskan dan menguatkuasakan keperluan dan peraturan-peraturan tersebut.

Jumlah penduduk sekarang bagi Kampar dan kawasan sekitarnya di bawah MDKpr berjumlah kira-kira 98,534 (setakat 1993) orang yang terdiri orang Cina, Melayu, India dan sebagainya. Kepesatan pembangunan Kampar setaraf dengan bandar-bandar lain di negeri Perak malah pada satu ketika dulu Kampar adalah Bandar yang keempat besarnya di Perak selepas Ipoh, Taiping dan Teluk Intan. Ini membuktikan bijih timah menjadi sumber yang memainkan peranan penting menentukan kepesatan Kampar seperti juga Kuala Lumpur, Ipoh, Seremban dan Taiping.