Tempat-Tempat Menarik
Destinasi Pelancongan Di Daerah Kinta Selatan

Air Terjun Batu Berangkai
Air Terjun Batu Berangkai merupakan salah satu destinasi pelancongan Malaysia yang paling indah. Letaknya lebih kurang 2.5 km dari bandar Kampar. Dari jalan sebelah tepi Masjid Al Nur Kampar, anda akan melalui sekim Perumahan Taman Ros dan menikmati suasana perkampungan Melayu tradisional dan perkampungan Orang Asli sebelum sampai ke destinasi ini. Pengunjung dapat menghayati keindahan alam semulajadi disamping bermandi-manda, berkelah dan berkhemah sekeluarga di situ. Waktu senja adalah masa yang cantik sekali semasa sang suria mengundur diri. Bagi pengunjung yang "adventure", anda boleh mendaki Gunung Relau dari Air Terjun ini melalui trek tanah yang bersih. Anda akan sampai ke kemuncaknya setinggi 4075 kaki disamping menikmati keindahan flora dan fauna semulajadi. Perjalanan ini akan mengambil masa 4-5 jam.

Air Terjun Sungai Salu
Air Terjun Sungai Salu terletak di Kuala Dipang. Ianya sesuai untuk aktiviti keluarga kerana air sungainya yang cetek sesuai untuk kanak-kanak. Ianya berada di bawah pengawasan Jabatan Hutan. Antara kemudahan yang disediakan ialah tempat menyalin pakaian, tandas, pondok rehat dan gerai makan. Jarak untuk sampai ke Air Terjun Sungai Salu dari jalan utama Kampar – Ipoh ialah 4 km. Pengunjung boleh menaiki bas Sahom, kereta dan motor untuk pergi ke sana.

Air Terjun Sri Kampar
Air Terjun Sri Kampar terletak di Kampar. Ianya sesuai untuk aktiviti lasak seperti ‘jungle tracking’ dan perkhemahan. Ini kerana untuk sampai ke sana pengunjung mesti berjalan kaki merentasi denai lebih kurang 50m daripada Taman Kampar Jaya. Ianya mempunyai kawasan lapang sesuai untuk mendirikan khemah.

Gua Tempurung
Antara bukit-bukit batu kapur dan marmar yang terindah di Malaysia adalah Gua Tempurung. Tersembunyi di dalam batu kapur ini adalah satu rangkaian sistem gua dalam berbagai dimensi dan berangkaian seolah sarang lebah. Gua-gua ini sesungguhnya adalah sebuah galeri yang menyimpan beribu bentuk stalakmit dan stalaktit dan lain-lain bentuk ukiran batu yang merupakan warisan alam yang amat menakjubkan.
Gua Tempurung merupakan gua utama di banjaran ini. Ia berlengkar di dalam perut Gunung Tempurung sebagai satu terowong dari timur menembusi ke barat sepanjang 1.9 km. Kini jejantas dan tangga telah disediakan di dalam sebahagian daripada gua-gua tersebut dan dengan adanya kemudahan ini, lawatan ke dalam gua kini amat mudah dan selesa.
Sebahagian daripada gua ini dilengkapi dengan lampu terang biasa untuk menyinari keadaan asli dan semulajadi gua ini. Dalam pada ini, pengunjung dapat menghayati keindahan ciptaan alam semulajadi dengan lebih dekat lagi. Dari Lebuhraya Utara-Selatan susur keluar melalui persimpangan Gopeng, kira-kira 25 km ke selatan bandaraya Ipoh. Dari persimpangan Gopeng, masuk ke Lebuhraya Persekutuan 1 (jalan lama) dan tuju ke selatan kira-kira 2 km sehingga Kampung Gunung Mesah. Belok ke kiri, dan lalui jalan kampung sepanjang 5 km. Jalan kampung ini boleh digunakan oleh semua jenis kenderaan termasuk bas. Selepas melalui kampung ini, anda akan melalui tanah bekas lombong. Untuk menyenangkan pengunjung, terdapat banyak papan tanda di sepanjang jalan menuju ke Gua Tempurung.

Taman Muhibbah
Pembangunan awal pada tahun dan berkonsepkan Taman Jepun. Pengubahsuaian konsep telah dibuat pada penghujung tahun 80an dan di awal tahun 90an dan seterusnya perubahan dibuat dari semasa ke semasa.
Taman berkonsepkan taman terbuka. Pengunjung dapat berehat sambil menikmati keindahan pokok-pokok yang ditanam. Selain itu dapat melihat binatang-binatang kecil dan ikan hiasan yang ditempatkan dalam kurungan dan kolam yang disediakan.
Taman dibuka pada pukul 7.00 pagi hingga 10.00 malam pada setiap hari. Lokasi taman berhadapan Balai Polis Kampar.